Tuesday, August 3, 2010

Riang zaman kanak-kanak


Masih terbayang-bayang seronoknya jadi anak kecil yang bebas bermain tanpa beban,tanpa masalah....stress freeeee....


Tapi budak-budak kecik sekarang nampaknya semakin lama semakin kurang adventure dalam kehidupan diorang..dengan peningkatan jenayah dan masalah sosial yang bermacam-macam mana mungkin anak-anak sekarang dibiar lepas bebas begitu sahaja.Semuanya nak dipantau,ke mana pergi mesti ada orang dewasa temankan,pergi balik sekolah semuanya kena berjemput....terbayang-bayang muka anak-anak buahku yang melopong dan jealous abis mendengar kisah zaman kanak-kanakku yang penuh dengan penerokaan dan kegiatan luar rumah yang sukar dikecapi anak-anak zaman sekarang.

Balik Kampung

Waktu cuti sekolah aku rajin pulang ke kampung atuk dan nenek ..pengalaman paling indah ialah ketika turut serta dalam kerja bersawah di bendang ..tiap musim pernah ku rasai.Bermula dengan semaian benih padi,mengubah anak-anak semaian padi ke petak-petak sawah,menghalau burung ketika padi sedang masak,membanting padi ...aku turut mengambil bahagian dalam setiap aktiviti tersebut,walaupun tak banyak kudrat yang ku gunakan, sekadar dapat merasa dan suka-suka tapi pengalaman itulah yang begitu berharga....dapat menghayati apa yang dikatakan orang sebutir nasi tu ibarat setitik peluh petani....bukan mudah kerjanya untuk menuai hasil tanaman..kerja keras dengan hasilnya hanya dapat dinikmati setelah berbulan-bulan.

Waktu senggang kami duduk di pundung tengah sawah makan nasi yang ditanak dari padi tanaman sendiri berlaukkan sambal gesek ikan bilis (ikan bilis yang ditumbuk dengan cili api dan diperah asam limau)... nikmat yang tak terucapkan.Ada waktu aku akan bermandi-manda di bandar (tali air sawah) bersama maksu sementara abang-abangku pula akan cuba menangkap ikan di situ....kini sawah tersebut tiada lagi,berganti tanaman lain.. hati kini pasti tercuit dengan kenangan silam tatkala melewati tapak bendang tersebut.

Pulang dari sawah di saat badan berlengas dan kaki berlumpur apalah yang lebih nikmat selain bersiram dengan air yang dingin dan nyaman dari perigi belakang rumah atuk.Teringat-ingat lagi bau tanah pada air perigi tersebut...sangat menyegarkan,terasa dekat dan mesra sekali dengan alam.


Childhood Games

Permainan zaman kanak-kanakku bermacam-macam adanya,dari yang tradisi hinggalah mainan hasil kreativiti sendiri semuanya tersenarai.Ada permainan tertentu yang popular mengikut musim kegilaannya.....galah panjang,layang-layang,batu seremban,lompat getah,guli,gasing,yo-yo adalah antara permainan bermusim yang dimainkan mengikut mood semasa.
Bagi diriku sendiri setelah pulang dari sekolah, sebelah petang aku belajar mengaji bersama rakan-rakan anak jiran yang turut belajar quran dengan emakku sendiri.Pastinya sebagai tuan rumah awal-awal aku akan cop tempat pertama untuk mengaji supaya habis awal.

Habis mengaji kebiasaannya kebanyakan rakan mengaji akan sama-sama bermain di halaman rumahku...di bawah pokok asam jawa gergasi yang memayungi laman,kami riuh bermain konda kendi,baling selipar,cop bola,polis sentri,aci nyorok,rounders,galah panjang,teng teng etc.Penat bermain kadang-kadang kami memanjat pokok cermai di laman atau ke belakang rumah mencari-cari kalau-kalau ada nona,delima,kuinin,durian belanda atau jambu batu yang berbuah.Paling tidak kami bergayut-gayut di pokok ceri malaysia sambil makan buahnya yang sebesar buah terung belanda dan akan berwarna merah kekuningan apabila sudah masak.

Ada waktu kami akan ke belakang rumahku yang kebetulan berhampiran sebuah kilang papan,di belakang kilang tersebut terdapat timbunan serpihan dan habuk papan yang membukit,menggunakan papan plywood terbuang atau upih kelapa kami akan bermain sliding di situ.Abangku pula ringan tulang mendirikan sebuah pondok dengan papan-papan terbuang tersebut di belakang rumah....kami gunakan pondok tersebut sebagai markas untuk berkumpul dan meniru lagak ala-ala penyiasat kanak-kanak hasil pengaruh dan obsesi pada novel-novel penyiasatan kanak-kanak karya Enid Blyton....huhuuu.

Ketika perasaan agak brutal kadangkala dengan bantuan abang kami bermain lastik atau pistol kayu yang berpelurukan sejenis biji tumbuhan berbentuk bulat dan hujungnya ada muncung yang tirus dan tajam yang boleh dijumpai di kawasan semak dan belukar.Kala perasaan ingin menjadi seperti orang dewasa kami akan bermain pondok-pondok..siap dengan watak pengantin yang diraikan dengan balingan kuntuman-kuntuman kecil bunga tahi ayam yang penuh warna warni itu.
Lewat petang kadangkala kami berbasikal ke padang permainan berhampiran rumah salah seorang rakan,di sana seringkali aku bermain bola sepak,walau agak janggal kerana sukan tersebut biasa dimainkan oleh kaum lelaki tapi aku dan beberapa orang kawan perempuan yang lain nyata tidak peduli,walau sering kalah tapi kerana semangat kesukanan yang tinggi tak melunturkan semangat untuk bermain lagi.

Ada ketika kami berbasikal agak jauh ke supermarket Oceanic yang berhampiran dengan tambak laut,sekadar membeli jajan dan kemudian merayau ke taman berhampiran di mana terletak sebuah miniature litar jalan raya untuk kanak-kanak,siap dengan replika petrol pump..berbasikal lah kami dalam litar tersebut sambil berangan-angan seperti sedang memandu kereta idaman masing-masing.Bila tiba musim kegilaan pada layang-layang kami ke padang merdeka berhampiran sekolah bermain layang-layang sama ada buatan sendiri dari suratkhabar atau layang-layang plastik yang dibeli di kedai jika punya modal yang cukup.

Ada waktu kami berbasikal ke pantai belakang hospital yang tak jauh dari rumahku,cuma bermain pasir dan mengutip batuan dan kerangan yang dirasakan menarik.Jarang sekali kami terjun dan mandi kerana pantai di situ dekat dengan pelabuhan dan airnya tidak bersih,lagipun seringkali diingatkan oleh orang tua jangan mandi laut tanpa pengawasan orang dewasa takut kejadian tak diingini berlaku.
Aktiviti luar menjadi pilihan kerana aku kurang menggemari 'indoor games" seperti batu seremban yang menjadi kegilaan rakan-rakan perempuan di sekolahku apatah lagi di sekolah kami ada pokok saga yang sangat pemurah menaburkan biji-biji merahnya sepanjang masa..biji saga ini dikutip dan dijahitkan ke dalam uncang2 kain kecil untuk dijadikan sebagi buah seremban.Congkak,mainan dam,chess,monopoli,scrabble dan sebagainya kebiasaannya akan menjadi aktiviti santai dalam kelas yang dibenarkan pihak sekolah selepas peperiksaan akhir tahun berlangsung dan guru-guru kala itu sibuk mengira markah dan membuat persiapan untuk hari penyampaian hadiah.


Begitulah saban waktu di zaman sekolah kami meraikannya tiap hari dengan riang dan ceria..zaman kanak-kanak ribena.Aku sangat bertuah kerana punya orang tua yang sangat sporting dan tak pernah mengongkong aktiviti seharianku.Alhamdulillah kepercayaan yang mereka berikan dapat kupelihara dengan baik dan aku yakin pengalaman meneroka bebas setiap ruang kembara kehidupan ini selama mana ianya dalam batas yang dibenarkan dapat merangsang kebijaksanaan dan membina kematangan,jati diri dan kecekalan dalam mendepani cabaran kehidupan...sekianlah adanya cerita masa kecilku.

No comments:

Post a Comment